>>Tentang Fityah<<

~Fata mengenali Allah menyedari tanggungjawabnya menunaikan amanah hanya mengharapkan syurga yang hakiki @},'--

Wednesday, June 29, 2005

Akhlak Yang Mantap

KETIKA A-ishah ditanya mengenai akhlak Rasulullah, jawabnya ialah khuluquhul Qur'an. Akhlak Rasulullah adalah Al-Qur'an. Sumber utama akhlak ialah al-Qur'an. Mahu tidak mahu, al-Qur'an perlu difahami seluruhnya jika benar-benar ingin mencontohi Rasulullah. Para sahabat sendiri, tidak berganjak kepada ayat yang lain selagi tidak beramal dengan ayat yang dihafaz mereka.

Antara tanda munafik atau hipokrit ialah apabila dia bercerita, dia menipu; apabila dia diberi amanah, dia khianat; dan apabila berjanji, dia mungkir. Ketiga-tiga ciri ini, kalau dilihat pada kebanyakan pemuda dan pemudi (syabab wa fatayat) memang ada. Sendiri mau ingat. Baik sangka, mereka tidak tahu barangkali. Kemudian ia balik kepada diri sendiri... berapa banyakkah usaha dakwah yang telah dilakukan? Pap! Kena atas dahi sendiri.

Akhlak yang baik secara tidak langsung dapat menarik perhatian baik yang sedia Muslim mahupun non-Muslim. Bila berjanji, sedaya upaya dipenuhi. Bila pegang amanah, berhempas pulas ditunaikan. Bila bercerita, sekadar perlu sahaja. Tiada perencah, bahan pengawet, MSG, pewarna tiruan dan sebagainya. Asli.

Airmuka yang tenang bisa menenangkan orang yang memandangnya. Keluh kesah, kelam kabut terpadam dengan sendiri nya. Bersungguh-sungguh melaksanakan segala urusan hingga mampu mendorong orang lain mencontohinya. Jika bergurau, tidak melampau; tidak sampai menyakiti hati saudara-saudaranya serta orang yang mendengar. Adakah sikap ini dalam diri?

Haya' menguasai diri. Bukan khajal. Kedua-duanya membawa maksud malu. Haya' ialah malu bertempat manakala khajal ialah malu mengada-ngada. Rasulullah ada menyebut: Al-Hayaa-u-minal-iman. Sepatutnya kita tidak malu menonjolkan imej sebagai Muslim bahkan rasa 'izzah, mulia @ bangga. Malu apabila berakhlak dengan akhlak yang bukan Islam ajar. Punya sensitiviti yang tinggi apabila Islam direndah-rendahkan seperti melihat saudara seagama melakukan perkara yang dilarang tetapi masih lagi merendah diri (tawadhuk).

Pemuda dan pemudi Islam berlaku adil. Layanan diberi sama rata. Tiada beza. Pangkat dan darjat bukan ukuran. Tidak kira kawan atau lawan. Ada sifat insaf, langsung tidak segan mengaku kelemahan dan kesalahan di hadapan lawan mahupun kawan. Kemarahan dikawal sedaya upaya. Kerana ada disebut orang yang paling kuat ialah orang yang mampu mengawal diri ketika marah, bukan orang yang kuat bergaduh. Gejala buli, gengsterism dan sewaktu dengan nak tunjuk kekuatan seharusnya dielakkan. Mahu jadi nombor satu bukan melalui penindasan.

Pemuda dan pemudi juga tidak lokek dengan tenaga dan harta mereka bahkan jika khidmat mereka diperlukan, nyawa pun sanggup dihulur tanpa mengharapkan balasan duniawi. Khidmat umum dicurahkan bagi memastikan kesejahteraan ummah. Siapa sahaja memerlukan pertolongan pasti segera cuba dipenuhi. Pemuda pemudi harapan agama punya rahmah, karamah dan juga sifat pemaaf. Sedia memaafkan kesalahan orang lain; berlapang dada.

Sama-samalah kita didik diri dengan futuwwah...

0 Comments:

Post a Comment

<< Home