>>Tentang Fityah<<

~Fata mengenali Allah menyedari tanggungjawabnya menunaikan amanah hanya mengharapkan syurga yang hakiki @},'--

Thursday, May 04, 2006

CCTV Amalan

“Sesungguhnya kamu berada dalam penglihatan kami” –
Ath-thuur: 48

Saat terbaca ayat ini, saya segera teringat teori CCTV amalan yang pernah saya fikirkan dan laksanakan dalam kehidupan.

Saya pernah terdengar tentang majikan memasang CCTV di pejabat bagi memantau pekerjanya. Jadi, pekerjanya tidak mempunyai pilihan selain bekerja seperti yang dikehendaki. Pekerja yang baik tidak memerlukan CCTV untuk diawasi. Jika mereka amanah, mereka akan bekerja bersungguh-sungguh tanpa perlu dipantau.

Salah satu sifat Allah yang diketahui ialah Allah Maha Melihat. Allah melihat hamba-hambaNya setiap masa tanpa rasa jemu. 24 jam setiap saat. Tetapi manusia selalu leka. Sudah tahu sifat Allah yang satu ini masih berani melakukan perkara yang telah Allah nyatakan secara jelas tidak disukaiNya. Sifat Allah yang Maha Melihat inilah saya gambarkan sebagai CCTV amalan.

CCTV ini merakamkan setiap detik waktu yang kita lalui dalam kehidupan seharian. CCTV ini tidak pernah kehabisan pita rakaman. Ia tidak akan pernah berhenti merakam setiap amalan, baik yang elok mahupun tidak. Sebab itu seorang pencuri digambarkan tidak akan mencuri selagi dia masih ada iman. Bukankah orang-orang yang berkemampuan memasang CCTV dirumahnya untuk mengelakkan pencuri? Namun, ramai hamba Allah yang menjadi pencuri terhadap Pencipta mereka.

Lebih menarik, CCTV amalan ini ada di mana-mana sahaja dari pelbagai sudut. CCTV yang ada hari ini begitu terhad, hanya terdapat di tempat tertentu dan mampu merakam sudut tertentu sahaja. Sudah tentu bagi penjenayah yang mahir, dapat mengelakkan diri daripada di rakam. CCTV ini juga tidak dapat berfungsi sekiranya elektrik terputus. Ini sangat berbeza dengan CCTV amalan kerana ia tidak memerlukan kuasa elektrik, tenaga solar atau sebarang tenaga untuk membuatnya berfungsi bahkan ia akan terus merakam tanpa mengira waktu.

Seperti pencuri yang dihadapkan ke mahkamah dengan bukti rakaman CCTV, begitulah juga manusia dibicarakan di mahkamah agung akhirat kelak. Jika di mahkamah dunia, rakaman CCTV sudah cukup untuk membuktikan jenayah yang dilakukan. Sebaliknya di mahkamah agung akhirat, segala bukti akan dikemukakan. Tidak cukup rakaman sahaja, catatan dua pengawal peribadi yang setia, amanah lagi jujur bernama Raqib dan ‘Atid pula dipersembahkan. Anggota badan pula bakal tampil memberi kesaksian. Begini keadaannya, apakah penjenayah boleh melepaskan diri dari hukuman?

Sesiapa sahaja, di mana jua, tak kira masa, sekiranya mereka menyedari hakikat ini, sudah tentu tiada manusia berani melakukan jenayah. Tiada insan yang berani menjadi munafik, zalim, fasik. Semua pasti berlumba melakukan kebaikan. Semuanya pasti bukan sahaja berusaha meninggalkan perkara yang mendatangkan dosa, malah semua perkara yang Allah tak suka. Motivasi mereka bertambah dengan ganjaran yang telah Allah janjikan.

“ Mal ihsan? An ta’budallaha kaannaka tarah, faillam takun tarah, fainnahu
yarak!” – hadith

0 Comments:

Post a Comment

<< Home