>>Tentang Fityah<<

~Fata mengenali Allah menyedari tanggungjawabnya menunaikan amanah hanya mengharapkan syurga yang hakiki @},'--

Tuesday, July 26, 2005

Mampu berusaha mencari rezeki sendiri

Lebih 3 minggu tidak berkesempatan menyambung penulisan di sini. Nah, hari ini nekad untuk meneruskannya. Ciri seterusnya yang perlu ada pada pemuda dan juga pemudi ialah mampu berusaha mencari rezeki sendiri.

Senario yang berlaku sekarang di Malaysia terutamanya begitu mengharapkan pekerjaan yang sesuai dengan apa yang telah mereka pelajari. Begitu banyak peluang pekerjaan wujud, mereka tetap dengan pendirian mereka. Pemuda dan pemudi seharusnya kreatif dan inovatif mengadakan pekerjaan untuk diri mereka sendiri, sama ada bekerja sendiri mahupun dalam mendapatkan pekerjaan.

Hari ini, tiada siapa yang bisa memilih pekerjaan yang disukai. Ini hakikat yang perlu diterima oleh golongan siswazah. Tiada pekerjaan yang datang bergolek. Semuanya perlu ada usaha. Namun begitu, kita tidak menolak bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah tetapi perlui dengan usaha.

Ada satu kisah di mana seorang pemuda cuba mencari pekerjaan di pasar untuk menyara keluarganya. Hingga petang, beliau masih belum dapat apa yang dihajatinya walau sekecil upah. Lalu, beliau mengadu pada ALlah dengan beribadah. Usai mengadu, beliau pulang ke rumah dengan hati yang gundah kerana tidak dapat mengadakan makan malam. Apabila tiba di rumah, beliau disambut dengan riang oleh ahli keluarganya. Mereka bercerita tentang seseorang datang memberikan upah pekerjaannya walhal dia tidak melakukan sebarang kerja pada hari itu. Dia menjadi hairan. Seketika dia menyedari bahawa itu adalah rezeki daripada ALlah.

Pokok pangkalnya adalah usaha yang dimulai bismillah dan diiringi doa. Usaha yang dilakukan tidak membelakangkan seseorang dari tanggungjawab sebagai hamba Allah. Semua manusia ialah servant of ALlah. Tiada siapa yang dapat melepaskan diri dari tanggungjawab ini.

Sebarang pekerjaan dilakukan dengan tekun dan profesional, tidak menipu malah menunaikan hak orang lain. Juga tidak mendekati sumber yang haram. Contoh mendekati sumber yang haram ialah bekerja dengan syarikat pengeluar arak. Sudah jelas, arak itu haram untuk orang Islam. Terdapat hadis yang menyebut sesiapa yang berkompromi dari penjual anggur, pemerah anggur dan semua orang yang terlibat dalam proses membuat arak dikira bersubahat. Tidak halal pendapatannya. Tidak mengambil malah menjauhi riba.

Kita juga digalakkan membeli barangan keluaran barangan orang Islam dan tempatan. Maknanya, mendahulukan produk orang Islam berbanding produk-produk lain. Paling tidak, membeli di kedai orang Islam tanpa mengira bangsa pemilik. Inilah formula yang digunakan oleh bangsa Cina untuk menguasai ekonomi. Mereka saling menyokong dan membantu antara satu sama lain. Kalau mamak pula, mereka sedaya upaya mengadakan barang yang diminta oleh pelanggan.

Apabila sudah senang, beri sumbangan pada dakwah Islam yang sering dicanang sebagai infaq. Bila zakat dan sedekah diberikan pada yang berhak, tidak mustahil sejarah di zaman Umar Abdul Aziz berulang. Sejarah dimana tiada siapa layak menerima zakat padahal Umar hanya sempat memerintah selama 3 tahun. Agama Kristian mewajibkan penganutnya memberikan 10% daripada pendapatan untuk kegiatan mereka. Islam tidak mewajibkan tetapi menggalakkan.

Abdul Rahman b Auf, salah seorang sahabat Rasulullah, mendermakan semua hartanya apabila Rasulullah meminta sumbangan. Namun begitu, beliau tetap merupakan sahabat yang kaya raya. Bahkan semasa peristiwa hijrah, sesudah dipersaudarakan dengan orang Ansar, beliau hanya meminta ditunjukkan jalan ke pasar.

Kita bukanlah dari kalangan sahabat. Seeloknya ada tabungan untuk kecemasan disamping memberi kepada yang berhak. Elak bermewah sekiranya tidak mampu. Apa gunanya menaiki Innova sedang hutang keliling pinggang? Belanja secara berhemat... setiap ringgit yang dilaburkan akan disoal di Mahkamah Agung nanti dengan saksi yang begitu jujur.

Saturday, July 02, 2005

Berpengetahuan Luas

Ciri seterusnya yang perlu ada pada pemuda pemudi ialah berpengetahuan luas. Pentingnya ilmu pengetahuan dalam menegakkan syiar Islam. Bagaimana mahu mematahkan serangan musuh jika tidak ada ilmu? Apakah dakwah disebarkan tanpa ilmu?

Menuntut ilmu wajib ke atas setiap muslim tidak kira lelaki dan perempuan, lebih-lebih lagi sekiranya sesuatu lapangan itu dikuasai oleh non-muslim sahaja. Contohnya bidang perubatan. Sekiranya tiada doktor muslim, menjadi wajib ke atas setiap orang untuk mempelajarinya. Hukum berubah menjadi fardhu kifayah, yakni tidak wajib apabila sudah ada orang Islam pakar mengenainya.

Pemuda dan pemudi mestilah mengamalkan Ma'thurat setiap hari. Ma'thurat merupakan do'a-do'a yang diamalkan oleh Rasulullah. Ma'thurat mampu menjadi benteng diri dari segala kejahatan berpunca dari diri sendiri mahupun orang lain. Tilawah al-Quran menjadi amalan harian. Tidak cukup sekadar baca, malah bertadabbur dengannya. Ada 4 peringkat berkenaan dengan al-Quran; dengar, baca, tadabbur dan amal. Tadabbur al-Quran ialah memahami, memerhati dan menghayati isi maksud ayat yang dibaca.

Di sekolah dahulu, rata-rata pelajar tidak berapa gemarkan mata pelajaran sejarah. Tetapi pengetahuan mengenai sejarah sebenarnya amat penting dalam kehidupan seharian. Kerana sejarah pasti berulang. Mungkin sejarah ini semuanya fakta, sebab itu kurang digemari. Jika tidak mampu menghafal tarikh-tarikh penting, mungkin memadai mengingati peristiwa-peristiwa yang berlaku. Banyak pelajaran dan pengajaran diperolehi daripada sejarah terutama sejarah Islam. Hakikat negara Islam, peperangan, perundangan dan sebagainya serta cara berhadapan dengan situasi-situasi genting.

Satu lagi ilmu yang mesti dikuasai oleh pemuda pemudi ialah musthalah hadith. Sumber rujukan utama Islam ialah al-Quran dan al-Hadith. Hadith punya banyak kategori. Hasan, dho'if, maudhu', sahih, segalanya perlu diketahui supaya hadith yang didengari, dipelajari mahupun yang diamalkan jelas riwayatnya. Jika dapati riwayat Bukhari dan Muslim, standard hadith tu adalah A++. Pemuda pemudi digalakkan menghafal hadith 40 Imam an-Nawawi.

Pemuda serta pemudi mestilah juga menguasai satu buku aqidah dan fekah yang berkaitan dengan dirinya paling kurang. Tidak rugi mengetahuinya malah bermanfaat untuk orang lain. Adakalanya rakan-rakan kita ini malu mahu rujuk pada alim ulama akan masalah mereka, kitalah yang perlu menerangkan pada mereka. Sangat penting untuk diri sendiri. Sekurang-kurangnya kita tahu ke mana harus dituju apabila sendirian dan tersasar.

Adalah digalakkan mempunyai perpustakaan peribadi. Teringat kisah Profesor Diraja Engku Aziz yang disiarkan dalam Berita Minggu... beliau tidak menjemput tetamu naik ke rumah. Sekadar melayan mereka di ruang legar di bawah rumahnya. Menurut beliau, pernah dia membenarkan tetamunya masuk ke rumah, sudahnya tetamu itu tidak mahu pulang-pulang. Mungkin disebabkan susun atur. Yang saya pasti, rumahnya pasti dipenuhi buku-buku... maklumlah academician...

Begitu juga Hafiz Firdaus Abdullah, seorang pilot yang banyak menulis mengenai Islam... beliau punya perpustakaan sendiri. Masuk ke bilik pensyarah-pensayarah juga begitu. Pensyarah UIA biasanya menerapkan nilai-nilai Islam dalam pengajaran mereka. Buku-buku adakalanya tidak sempat disusun dengan rapi akibat sering digunakan. Begitu bersungguh mereka menguasai ilmu. Buku bukan untuk dijadikan perhiasan tetapi ianya untuk dibaca.

Tidak ada salahnya jika mampu menguasai bidang profesional dan pendidikan Islam bahkan amat dialu-alukan. Tuntutlah ilmu minal mahdi ilal lahdi...dari buaian hingga ke liang lahad.