>>Tentang Fityah<<

~Fata mengenali Allah menyedari tanggungjawabnya menunaikan amanah hanya mengharapkan syurga yang hakiki @},'--

Wednesday, March 12, 2008

Khalifah Umar bin Abdul Aziz

Khalifah Umar bin Abdul Aziz dilantik sebagai Khalifah menggantikan Sulaiman bin Abdul Malik dalam keadaan yang beliau sendiri tidak suka akan pelantikan tersebut. Lalu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang.

Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid. Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah dan berselawat kepada Nabi s.a.w. kemudian beliau berkata:

"Wahai sekalian umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang Khalifah yang kamu reda”.

Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: “Kami telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan”.

Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, jangan terlalu mencintai kekayaan dunia dan mendorong mereka supaya lebih mencintai akhirat. Kemudian beliau berkata pula kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa yang taat kepada Allah, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada Allah, janganlah sesiapa mentaati aku". Setelah itu beliau turun dari mimbar.

Dalam satu peristiwa Khalifah Umar bin Abdul Aziz, sewaktu sedang bekerja di rumahnya dia didatangi puteranya untuk membincangkan sesuatu hal yang berhubung dengan urusan keluarga. Khalifah Umar lantas memadamkan lampu yang terletak di meja yang menerangi bilik kerjanya itu.

Puteranya hairan melihat sikap ayahnya itu lalu bertanya: "Kenapa ayah padamkan lampu itu?". Jawab Umar: “Lampu yang digunakan adalah untuk bekerja dan ini kepunyaan kerajaan. Minyak yang digunakan itu dibeli dengan menggunakan wang kerajaan, sedang perkara yang hendak anakanda perbincangkan dengan ayahanda adalah perkara keluarga."

Lantas baginda meminta pembantunya membawa lampu dari bilik dalam. "Sekarang lampu yang baru kita nyalakan ini adalah kepunyaan keluarga kita, minyak pun kita beli dengan wang kita sendiri." Demikianlah besarnya sifat amanah dari seorang pemimpin berkaliber yang berjiwa besar.

Satu lagi peristiwa lain pula, Khalifah Umar pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan, tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa tersebut anak beliau berumur 17, kemudian anak beliau berkata: "Apakah yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?"

Lalu Umar menjawab: "Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika kerana aku terasa terlalu letih." Selepas itu Abdul Malik berkata: "Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul Mukminin?"

Lantas Umar menjawab: "Anakku! Kelmarin aku telah berjaga malam untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bapa saudara kamu, Sulaiman, nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang bersama-sama dengan orang ramai dan Insya Allah aku akan mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya."

Seterusnya Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup sehingga ke waktu Zuhur, wahai Amirul Mukminin?"

Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau cium dan peluk anaknya kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi Allah yang telah melahirkan seorang anak dari tulang salbi aku yang boleh membantu aku di dalam perkara agama aku." Setelah itu beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai dengan berkata: "Sesiapa yang barang-barang mereka pernah diambil secara zalim, sila laporkan." Kemudian Umar mengembalikan barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya"


Pemimpin Yang Adil
Artist: Hijjaz
Album: Damai

Pemimpin yang adil sangat dikehendaki
Memakmurkan umat dunia dan akhirat
Tiada keadilan negara huru-hara
Pemimpin membela nasib rakyatnya

Pemimpin yang adil sifatnya amanah
Mampu rasa resah susah rakyat-rakyatnya
Keadilannya tanpa pilih kasih pada siapa
Kepentingan rakyat lebih utama

Didengari rintihan dari rakyat-rakyatnya
Kasih sayang terserlah di wajahnya
Sombong dan takbur tidak ada pada dirinya
Rakyat hormat bukan takut padanya

Pemimpin yang adil mengutamakan amanah
Wang rakyat dan negara tidak disalah guna
Rasuah dan kemungkaran sangat dijauhinya
Rakyat diseru mentaati Allah

Terdapat pemimpin di dunia kini
Seringkali mencetus huru-hara
Demi melindungi kepentingan dirinya
Rela membiar rakyatnya derita

Pemimpin yang adil mengutamakan rakyatnya
Melepaskan mereka dari sengsara
Akhlak yang mulia pakaian dirinya
Rakyat taat dan sayang padanya

Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang sejati
Tuhan, kurniakanlah pemimpin yang begini



Ya Allah, kurniakan kami pemimpin yang melaksanakan seluruh perintahMu. Pemimpin yang menegakkan syariatMu. Pemimpin yang mengamal Sunnah RasulMu. Pemimpin yang amanah dalam tanggungjawab yang diberikan oleh rakyatnya. Pemimpin yang menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai rujukan utama.

Ya Allah. Bantulah kami dalam perjuangan ini. Permudahkan urusan kami.
Amin..

-Dipetik dari nazirah@yahoo.com- hizamri list


sumber: e-mail

Tuesday, March 11, 2008

Kisah Sahabat 35: 'Abbad bin Bisyr

(bhg. 1)

'Abbad bin Bisyr adalah sebuah nama cemerlang dalam sejarah Da'wah Islamiyyah. Bila anda mencarinya di antara para 'abid (ahli ibadah), maka anda akan mengatakan dia seorang yang bertaqwa, suci dan menegakkan solat setiap malam dengan membaca beberapa juz dari Al-Quran. Bila anda mencarinya di kalangan para pahlawan, maka anda akan mendapatinya sebagai pahlawan yang gagah berani, telah mengalami banyak pertempuran demi menegakkan kalimah Allah. Dan jika anda melihatnya di lapangan pemerintahan, maka dia seorang penguasa yang cekap, berperanan dengan baik dan dipercayai dalam urusan harta kekayaan kaum muslimin.

Ketika Islam mulai tersebar di Yathrib (Nama lama bagi Madinah), 'Abbad bin Bisyr Al-Asyhaly masih muda. Kulitnya yang bagus dan wajahnya yang rupawan memantulkan kesucian. Dalam kegiatan sehari-harian dia mempamerkan tingkah laku yang baik, bersikap seperti orang-orang yang sudah matang jiwanya, ketika itu usianya belum pun mencapai 25 tahun.

Dia mendekatkan diri kepada seorang da'ie dari mekah, iaitu pemuda yang bernama Mus'ab bin Umair. Maka dalam tempoh yang singkat, hati keduanya terikat oleh ikatan iman. Mereka bekerjasama dalam urusan-urusan yang mulia dan masalah-masalah yang penting. 'Abbad belajar membaca Al-Quran daripada Mus'ab bin Umair. Suaranya sangat lapang, merdu, keras, menyejukkan dan menawan hati. Kerana itu dia senang sekali membaca Kalamullah iaitu Al-Quran, dan melapangkan tempat yang luas dalam hati kecilnya itu untuk Al-Quran. Membaca Al-Quran menjadi kegiatan utama baginya. diulang-ulangnya siang dan malam, bahkan dijadikannya suatu kewajiban. Lalu dia terkenal di kalangan para sahabat sebagai imam dan 'sahabat Al-Quran'.

Pada suatu malam Rasulullah SAW solat tahajjud di rumah 'Aisyah yang rapat dengan masjid. Terdengar oleh Baginda S.A.W suara 'Abbad bin Bisyr membaca Quran dengan suaranya yang empuk dan lembap, laksana suara Jibril ketika menurunkan wahyu dalam hati beliau.

Maka berkata Rasulullah S.A.W, "Hai Aisyah! Suara 'Abbad bin Bisyr kah itu?" Jawab Aisyah, " betul, ya Rasulallah!" Lalu Baginda S.A.W berdoa, "Ya Allah, Ampunilah dia".

'Abbad bin Bisyr turut berperang bersama Rasulullah SAW...


(bhg. 2)


'Abbad bin Bisyr turut berperang bersama Rasulullah SAW dalam setiap peperangan yang dipimpin beliau. Dalam peperangan-peperangan tersebut dia bertugas sebagai pembawa Al-Quran. Waktu Rasulullah kembali dari peperangan Dzatur Riqa', beliau beristirehat dengan seluruh pasukan muslimin pada suatu jalan di atas bukit.

Seorang parajurit muslim menawan seorang wanita musyrik dalam pertempuran, ketika wanita itu ditinggalkan oleh suaminya. Ketika suaminya datang kembali, didapatinya isterinya sudah tiada. Dia bersumpah dengan Lata dan 'Uzza akan menyusuli Rasulullah dan pasukan muslimin, dan tidak kan kembali kecuali setelah menumpahkan darah mereka.

Setibanya rasulullah SAW di tempat perhentian di atas bukit, Baginda bertanya kepada 'Abbad bin Bisyr dan 'Ammar bin Yasir, "Siapa yang berkawal tugas malam ini?" Mereka berdiri seraya berkata, "Kami, ya Rasulallah!" Kata keduanya serentak. Rasulullah telah menjadikan mereka berdua bersaudara ketika kaum Muhajirin baru tiba di Madinah. Waktu keduanya keluar ke pos kawalan, 'Abbad bin Bisyr bertanya kepada 'Ammar, " Siapa di antara kita yang akan berjaga lebih dahulu, sementara yang lain dapat tidur?"

"Akulah yang tidur lebih dahulu!" jawab Ammar yang bersiap-siap untuk berbaring tidak jauh dari tempat penjagaan.

Suasana malam itu tenang, sunyi dan lembut. Bintang-bintang, pohon-pohon dan batu-batuan, seakan sedang bertasbih memuji Tuhannya. Hati 'Abbad tergiur hendak turut melakukan Ibadah dan membaca Al-Quran. Dia segera merasakan bagaimana manisnya ayat-ayat Al-Quran yang dibacanya dalam solat. Sehingga ni'mat solat dan ni'mat tilawah berpadu menjadi satu dalam jiwanya.

Dia menghadap ke kiblat hendak solat. Dalam solat dibacanya surah Al-Kahfi dengan suara memilukan, lembap tetapi sedap. Ketika dia sedang bertasbih dalam cahaya Ilahi yang meningkat tinggi, tenggelam dalam kelip-kelip pancarannya, seorang lelaki datang memacu langkah tergesa-gesa. Ketika dilihatnya jauh dari kejauhan seorang hamba Allah sedang beribadah di pos penjagaan, dia tahu pasti Rasulullah dan para sahabat berada di sana. Orang itu segera menyiapkan panah dan memanah 'Abbad tepat mengenainya. 'Abbad mencabut anak panah yang bersarang di tubuhnya sambil meneruskan bacaan dan tenggelam dalam solat. Orang itu memanah lagi dan mengenai 'Abbad dengan tepat. 'Abbad mencabut pula anak panah yang kedua itu dari tubuhnya. Kemudian orang itu memanah pula kali yang ketiga. 'Abbad mencabutnya pula seperti dua anak panah tadi. Giliran jaga bagi 'Ammar bin Yasir pun tiba. 'Abbad merangkak ke tempat saudaranya itu tidur, lalu membangunkannya seraya berkata, "Bangun...! aku luka parah dan sesak nafas!"

Ketika si pemanah melihat mereka berdua, orang itu pun segera melarikan diri.

'Ammar menoleh kepada 'Abbad. Terlihat olehnya darah mengalir dari tiga lubang luka di tubuh 'Abbad. kata 'Ammar, "Subhanallah...! mengapa engkau tidak membangunkan ku ketika panah pertama mengenaimu?"

Jawab 'Abbad, "Aku sedang membaca surah dalam solat. Aku tidak ingin memutuskan bacaanku sebelum selesai. Demi Allah! Kalaulah tidak kerana takut akan mengabaikan tugas yang diberikan oleh Rasulullah, iaitu menjaga jalan tempat kaum muslimin berkhemah, tentu aku akan meneruskan bacaan. Biarlah tubuhku terputus daripada memutuskan bacaan dan solat.

Ketika perang membenteras orang-orang murtad berkecamuk...


(bhg. 3)


Ketika perang membenteras orang-orang murtad berkecamuk di masa Abu Bakr r.a, Khalifah Abu Bakr menyiapkan perang yang besar untuk menindas kekacauan yang ditimbulkan oleh Musailamah Al-Kazzab, menundukkan orang-orang murtad yang memihak Musailamah, dan mengembalikan mereka kepada Islam. Maka 'Abbad bin Bisyr adalah perintis dalam ketenteraan tersebut. Setelah diperhatikannya celah-celah pertempuran, 'Abbad berpendapat kaum muslimin tidak mungkin menang kerana kaum Muhajirin dan ansar saling menyerahkan urusan antara satu sama lain dan saling membenci dan mencela. Maka yakinlah 'Abbad kaum muslimin tidak akan menang dalam pertempuran dengan pasukan yang tidak bersatu. Kecuali bila kaum Ansar dan Muhajirin membentuk pasukannya masing-masing dengan tanggungjawab sendiri-sendiri. Dengan begitu dapat diketahui dengan jelas mana pejuang yag bersungguh-sungguh berjuang.

Suatu malam sebelum pertempuran penentuan, 'Abbad bermimpi dalam tidurnya, seolah-olah dia melihat langit terbuka baginya. Setelah dia memasukinya, dia langsung menggabungkan diri ke dalam dan mengunci pintu. Ketika subuh tiba, 'Abbad menceritakan mimpinya itu kepada Abu Sa'id Al-Khudri. Katanya, "Demi Allah! Mimpi itu seperti benar-benar terjadi, hai Abu Sa'id!"

Setelah hari siang, dan perang sudah dimulai, 'Abbad naik ke bukit kecil seraya berteriak, "Hai Kaum Ansar! berpisahlah kalian dari dari tentera yang banyak itu...! Pecahkan sarung pedang kalian...! Jangan Kalian tinggalkan Islam terhina atau tenggelam, pasti bencana akan menimpa kalian...!"

'Abbad mengulang-ulang seruannya, sehingga akhirnya berkumpul padanya kira-kira 400 parajurit. Di antaranya terdapat perwira seperti Tsabit bin Qais, Al-Barra' bin Malik, dan Abu Dujanah, pemegang pedang Rasululah saw.

'Abbad dan pasukannya menyerbu memecah pasukan musuh dan menyebarkan maut dengan pedang-pedang mereka. Kemunculannya menyebabkan pasukan Musailamah Al-Kazzab terdesak mundur dan melarikan diri ke Taman Maut.

Di sana dekat pagar tembok Taman Maut, 'Abbad gugur sebagai syuhada' berlumuran darah syahidnya. Tubuhnya penuh dengan luka bekas pukulan pedang, tusukan lembing dan panah. Sehingga para sahabat hampir tidak mengenalinya, kecuali setelah melihat beberapa tanda di tubuhnya. Begitulah kisah salah seorang sahabat Rasulullah saw. Moga Allah SWT mencucuri ruhnya dengan rahmat yang melimpah ruah. amiin...




وَعِبَادُ الرَّحْمَنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الأرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلامًا (٦٣)

وَالَّذِينَ يَبِيتُونَ لِرَبِّهِمْ سُجَّدًا وَقِيَامًا (٦٤)

وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا اصْرِفْ عَنَّا عَذَابَ جَهَنَّمَ إِنَّ عَذَابَهَا كَانَ غَرَامًا (٦٥)

إِنَّهَا سَاءَتْ مُسْتَقَرًّا وَمُقَامًا (٦٦)

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَلِكَ قَوَامًا (٦٧)


63. Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu ialah orang -orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata yang baik

64. Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka.

65. Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan kami, jauhkanlah azab neraka jahannam dari kami, Sesungguhnya azab seksaNya itu adalah kebinasaan yang kekal

66. Sesungguhnya jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman

67. Dan orang-orang yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah berlebih-lebihan dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu. (Al-Furqaan: 63-67)




Rujukan:
Kitab "Gambaran Kehidupan Para Sahabat" terjemahan buku "Suwarun min Hayatis-Sohabah" dikarang oleh Abdur-Rahman Raf'at Basya. Buku ini pula merujuk kepada buku hayatus-sohabah, al-bidayah wan-nihayah dan zaadul ma'ad serta hadis bukari, muslim dll.


sumber: e-mail

Thursday, March 06, 2008

Kisah Sahabat 02: Umar ibn Al-khattab

(bhg 1)

Al-Khattab bin Nufail Al-Mahzumi Al-Quraisyi mendengar berita bahawa isterinya telah melahirkan bayi, maka wajahnya berseri-seri karena merasa gembira. Senang hatinya. Ia kemudian mencari-cari, mendengar-dengar khabar berita itu di tengah masyarakat yang sedang berkerumun di salah satu tempat dekat tembok Ka’bah.

Mendengar khabar bayinya ialah seorang putera, maka bertambahlah rasa kegembiraannya. Setelah itu ia pulang ke rumah untuk berjumpa isterinya iaitu Hantamah binti Hasyim, setibanya di rumah ia menyampaikan ucapan selamat kepada sang isteri dan kemudian ia mengusap mukanya yang dibasahi keringat. Selanjutnya ia mendekati puteranya dengan riang gembira seraya berkata-kata kepada bayinya itu dengan ucapan yang tak dapat difahami.

Selesai mengadakan perbincangan sebentar dengan isteri dan keluarganya, lalu puteranya yang baru lahir itu diberi nama “Umar”. Hari berganti hari, lalu si bayi dapat merangkak, selanjutnya berlatih berjalan yang kemudian menjadi anak yang meningkat dewasa.

Sepanjang perkembangannya ia mendapat perhatian penuh dan pemeliharaan yang terarah dari kedua ibu bapanya. Setelah ia menginjak remaja, ia diarahkan orang tuanya untuk memelihara ternakan peliharaannya, ia diberi pekerjaan yang cukup berat dengan tujuan menguatkan sifat-sifatnya dan dengan maksud menguatkan tubuhnya.

Umar adalah seorang berkulit putih kemerah-merahan, tubuhnya berambut, antara kedua bahunya lebar, dan kedua lengan tangannya kukuh. Sewaktu berjalan nampak cepatnya sehingga orang yang menyertainya tidak dapat mengikuti perjalanannya yang cepat itu.

Sewaktu pasar Ukaz dibangunkan di lapangan kota Makkah dan ummat manusia telah membanjiri seluruh penjurunya, maka Umarlah yang ditugaskan sebagai penunggang kuda di kalangan pemuda. Sehingga tiadalah pacuan kuda yang diikutinya kecuali dialah yang selalu memperoleh kemenangan.

Ada diceritakan, bahawa sewaktu diselenggarakannya perlumbaan, datanglah seorang pemuda yang berani dan berputar-putar di lapangan tempat perlumbaan itu sambil menampakkan kesombongannya serta keangkuhannya, sebab ia telah berhasil mengalahkan sejumlah penyaingnya dan telah dapat menundukkan keegoan mereka.

Maka setibanya Umar dan kawan-kawannya di lapangan, para penonton yang datang menonjolkannya dan menghebohkan kekuatan yang ada padanya. Mereka memberikan spirit kepada Umar untuk bertanding melawan pemuda pemberani tersebut. Pada permulaan berlangsungnya perlumbaan, pemuda itu melihat Umar dengan pandangan sinis dan penghinaan kerana Umar kelihatan marah. Maka Umar segera melepaskan selendang dan sebahagian pakaiannya, selanjutnya ia memasuki lapangan untuk bertanding dengan pemuda itu. Ketika bertanding, keduanya menampakkan kepakaran masing-masing sehingga orang-orang yang mengelilingi lapangan itu menjadi penuh sesak. Setelah beberapa putaran, maka Umar dapat mengalahkannya, sepontan suara kegembiraan terdengar, amat ramai sekali di semua tempat seakan-akan dapat membelah awan di langit. sehingga ia dapat mengembalikan kemenangannya kepada sukunya dan suku Quraisy. Ternyata Umarlah yang mendapat kemenangan.

Setelah itu Umar berjalan melewati pembesar-pembesar Quraisy di sekitar Ka’bah seraya mendapatkan penghormatan. Setelah keramaian pasar Ukaz bubar, dan orang-orang yang datang telah kembali ke tempat tinggal masing-masing, maka menjadi sepi lah situasi pasar-pasar di kota Makkah dari orang-orang pejalan kaki tadi. Maka Umar pun kembali pada adat kebiasaannya iaitu menyerbu umat Islam, dan menangkap mereka dengan kekerasan.

Pasar Ukaz sepanjang harinya selalu disibukkan dengan peristiwa Umar dan kaum Muslimin. Ia tidak mempunyai rasa belas kasih kepada mereka. Ia selalu menakut-nakuti dengan penuh kekerasan...


(Bhg 2)

Pada suatu ketika ia sedang berada di sekitar Ka’bah, di hari itu ia merasa sakit hati akibat celaan salah seorang yang ada di situ berkenaan puterinya, seorang kanak-kanak perempuan. Sebab Umar adalah orang yang memang tidak mahu dicela oleh sesiapa pun. Mendengar cercaan itu, maka ia segera bangun dengan mempercepat langkahnya pulang ke rumah. Selanjutnya ia membawa puterinya menuju ke lapangan kota Makkah. Puteri yang masih kecil itu disuruh duduk di sampingnya dan ia mula menggali lubang di tengah padang pasir.

Setelah selesai menggali lubang, maka anak yang tak berdosa itu dijerumuskan ke dalamnya dengan kerelaan hatinya, dan kemudian ia menimbunnya dengan tanah.
Ketika ia sedang asyik dalam pekerjaan menggali lubang itu, percikan tanah yang digalinya tertempel pada janggutnya, sedang puterinya yang kecil itu sempat membersihkan janggut ayahnya yang terkena tanah itu. Puterinya mengira bahwa yang dikerjakan ayahnya adalah bermain-main dan sedang menghiburnya. Akan tetapi dalam hal itu hati Umar sedikit pun tak tergores rasa kasih sayang kepadanya.

Memang menanam hidup-hidup anak perempuan di kala itu adalah merupakan kebiasaan serta adat orang Jahiliyah, sebab mereka merasa takut fakir atau tercela. Tetapi kebiasaan itu telah dilenyapkan oleh Nabi Muhammad saw yang mana beliau mengajak ummat manusia untuk melepaskan adat kebiasaan itu. Beliau berkali-kali menyampaikan kepada ummat manusia akan firman Allah subhanahu wa Ta’ala ini:

31. Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah Yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan Yang besar. (Al-Isra')

8. Dan apabila anak perempuan Yang ditanam hidup-hidup: ditanya,
9. Dengan dosa apakah ia dibunuh? (At-Takwir)

Akan tetapi seruan Rasul itu tidak diterima orang-orang yang sangat bodoh dan sangat sombong lagi angkuh dengan telinga yang terkunci. Setelah itu Umar kembali ke Makkah, seolah-olah penutup dadanya telah tersingkap atau seakan-akan ia telah berada dalam budi mulia yang akan disanjung oleh masyarakat dan kemudian ia disebut sebagai orang yang baik.

Ia kembali pada perjalanannya dengan mengangkat kepalanya sebagaimana biasanya. Bumi bergerak di bawah telapak kakinya, ia melintasinya dengan gaya kesombongan dan keangkuhan.
Pada suatu ketika ia mengajak ibunya berkumpul bersama sahabat-sahabatnya di suatu tempat yang digunakan bersama untuk minum-minum dan bersenang-senang. Selesainya lalu ia pulang ke rumahnya. Adalah suatu yang aneh, bahawa anak perempuannya yang telah dikubur hidup-hidup pada hari yang telah lewat itu, menjadikan Umar tak dapat tidur dan selalu gelisah di saat ia beristirehat.

Sedangkan ibu dan puterinya tak dapat menangis dengan suara keras. Ia menahan nafasnya dan menyembunyikan rintihan tangisnya dalam dada, kerana khuwatir kalau Umar mengetahui pasti akan menyakitinya.

Di kala bangsa Quraisy berlebih-lebihan dalam menyakiti kaum Muslimin, maka sebagian kaum Muslimin berhijrah ke Habsyah (Ethopia) untuk menyelamatkan agama dan menghindari fitnah.
Pada suatu hari ketika Umar berbincang-bincang bersama pemimpin golongan Quraisy tentang adanya dakwah yang baru yang menggoncangkan masyarakat mereka, maka tampil salah seorang dari mereka, minta kepada sekalian orang yang berkumpul di situ agar Muhammad dibunuh dan dilarang dari dakwahnya. Yang dipilih pada waktu itu adalah Umar bin AI-Khattab, sebab jika ia marah pasti tidak mempunyai rasa kasihan, ia berani menakut-nakuti, mengancam dan berani melarang bagaikan harimau yang ganas.
Sementara itu salah seorang yang datang berkumpul di situ ada yang menggelengkan kepala sebagai tanda tidak setuju dan sebagai penghinaan kepada Umar seraya mengatakan: “Wahai Umar, urusilah keluargamu sendiri! Sebab saudara kandungmu Fatimah dan suaminya telah pindah agama, maka yang baik bagimu adalah meluruskan kebengkokan keduanya itu untuk kembali kepadamu.”

Ketika itu seakan-akan api bergejolak menyala-nyala dalam tubuh dan pakaian Umar. Ia lalu berdiri dengan melepaskan pandangan terakhir terhadap orang yang berkumpul, dan terus pergi menuju ke rumah saudaranya. Pergolakan fikirannya telah menghunjam ke dalam hatinya.

Setelah ia sampai di rumah saudaranya, ia menemui pintu yang sudah pecah, lalu ia membukanya dengan perlahan dan terus memasukinya. ia mendengar suara yang tidak keras yang kadang-kadang juga kedengaran keras bila ia maju selangkah demi selangkah. Selanjutnya setelah ia merasa tenteram dalam mendengar sebahagian kalimat, ia terpaku di tempatnya, seakan-akan ada kekuatan ghaib yang menghalang-halangnya untuk maju selangkah dan selangkah selanjutnya.

Setelah suara Fatimah berhenti, maka Umar berteriak kepada adik perempuannya sebelum ia masuk ke tempatnya. Maka ia dan suaminya cepat-cepat menyembunyikan apa yang sedang dipegang di tangannya, yaitu berupa lembaran bertuliskan ayat-ayat Al-Quran. Maka masuklah Umar seraya berseru minta penjelasan tentang bacaan yang didengarnya yang ia kurang faham. Pertama kali Fatimah bersama suaminya mengingkari dan tidak mau mengaku terus terang. Tetapi setelah Umar mendesak terus-menerus, maka Fatimah menyatakan bahwa dirinya benar-benar telah masuk Islam. Peristiwa inilah yang kemudian menjadikan Umar bertambah marah, bahkan di kala itu Umar akan menampar adik perempuan kandungnya, namun dihalang-halangi suaminya. Tetapi Umar berusaha memegangnya sehingga adik iparnya itu jatuh tersungkur ke bumi di mana mukanya luka-luka berdarah. Di saat itu lalu Umar merebut lembaran yang terdapat tulisan yang dibaca adiknya tadi dan ia pun lalu membacanya:

1. Taa' Haa.
2. Kami tidak menurunkan Al-Quran kepadamu (Wahai Muhammad) supaya Engkau menanggung kesusahan.
3. Hanya untuk menjadi peringatan bagi orang-orang Yang takut melanggar perintah Allah
4. (Al-Quran) diturunkan dari (Tuhan) Yang menciptakan bumi dan langit Yang tinggi.
5. Iaitu (Allah) Ar-Rahman, Yang bersemayam di atas Arasy.

Dan memang Maha Benarlah Allah, karena Dia juga berfirman:
21. Sekiranya Kami turunkan Al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya Engkau melihat Gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada Allah. dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. (Al-Hasyr)

Belum selesai Umar dalam membaca ayat tersebut, maka meredalah kesombongannya dan lenyap pulalah kemarahannya. Kemudian ia memeluk suami adiknya sambil mengangkatnya dari tanah, sebab ia masih dalam keadaan berbaring. ia mengusap darahnya dan menenteramkan hatinya seraya menanyakan kepadanya: “Di mana boleh aku menemui Muhammad?”

Di kala itu Fatimah masih tetap merahasiakannya karena a masih khuwatir dan terpaksa tidak mau memberitahukan tempat Rasulullah saw. Namun di saat itu Umar selalu mendesak dan menerangkan bahawa ia bermaksud masuk Islam.

Kekerasan hati Umar benar-benar telah lenyap dan kesombongannya yang berlebih-lebihan itu pun telah hancur. Ayat-ayat Allah telah dapat masuk dan meresap ke lubuk hatinya dan seluruh anggota tubuhnya. Umar lalu berangkat mencari Muhammad,


(Bhg 3)

Umar lalu berangkat mencari Muhammad, setibanya di muka rumah Al-Arqam bin Abil Arqam ia berdiri dengan khusyu’ dan tenang. Kemudian ia mengetuk pintu. Di saat itu berdirilah seorang sahabat dan melihatnya melalui lubang pintu, lalu ia kembali menuju kumpulan sahabat yang datang seraya berkata: “Wahai Rasulullah, ada Umar! Ia datang membawa pedang terhunus.”

Situasi seperti itu menjadikan sebahagian para sahabat merasa khuwatir. Sebab kebiasaan Umar itu telah dikenal selalu jahat. Akan tetapi, Hamzah bin Abdul Muthalib r.a menoleh kepada Nabi saw seraya berkata: “Wahai Rasulullah, perkenankanlah saya! Andaikata ia bermaksud baik, maka akan saya beri kesempatan untuk masuk, dan jika ia datang hanya akan berbuat kejahatan, maka akan saya bunuh dengan pedangnya. Maka Nabi saw diam sebentar seraya bersabda:
“bergembiralah kamu semual Sesungguhnya Umar telah datang pada kamu sekalian sedangkan cahaya Islam terletak di antara kedua matanya.”

Setelah itu Rasulullah saw memperkenankan agar pintu dibuka, maka masuklah Umar. Para hadirin kembali ke belakang dan Nabi saw maju menemui Umar sambil memegang hujung leher bajunya, sambil menariknya dengan kuat sehingga membekas pada lehernya. Selanjutnya beliau mengatakan: “Apakah belum waktunya bagimu untuk masuk Islam wahai putera Al-Khattab?” Akhirnya Umar mengucapkan:
ASYHADU ANLAA ILAAHA ILLALLAAH WA ASYHADU ANNAKA RASULULLAAH. “Aku bersaksi bahawasanya tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, dan aku bersaksi bahwa engkau adalah utusan Allah.

Di sinilah lalu para sahabat yang datang di situ sama menghadap sambil berjabat tangan dan menyampaikan ucapan selamat bahagia. Kegembiraan tampak kelihatan pada wajah mereka, dan lslamnya Umar inilah merupakan tanda suksesnya dakwah Islam menurut lembaran sejarah. Allah swt benar-benar mengabulkan doa Nabi-Nya yang telah dipanjatkan berulang kali di setiap waktu. Doa Nabi tersebut berbunyi:

ALLAHUMMA A'IZZAL ISLAM BI AHADIL-UMARAIN. “Ya Allah, muliakanlah agama Islam ini dengan salah satu dari dua Umar.”

Yang dimaksud oleh Nabi yaitu Amru bin Hisyam dan Umar bin Al-Khattab.

Setelah Umar masuk Islam, maka dakwah Islam yang bermula secara tersembunyi dan rahsia menjadi dakwah dengan terang-terangan dan secara jelas. Kaum Muslimin setelah itu tidak mempunyai rasa takut dengan siapa pun. Nabi Muhammad saw bersama kaum Muslimin mula mengelilingi pasar-pasar kota Makkah dengan diatur menjadi dua barisan sebagai pasukan tentera Allah swt. Barisan yang satu di bawah pimpinan Panglima Hamzah ra dan yang satunya di bawah pimpinan Umar ra.

Peristiwa masuknya Islam Umar kemudian menghebohkan kaum Quraisy yang mana mereka sama menyatakan penyesalannya. Sebab Umar bin Al-Khattab yang dahulunya sangat kuat dalam membela kebodohan sekarang menjadi seorang yang kuat keislamannya.

Ia mendirikan solat, mengerjakan ruku dan sujud di muka Ka’bah, di mana tiada seorang pun yang berani mengganggunya. Ia membela ummat Islam dan membentenginya.
Setelah cukup lama, terdengarlah berita besar tentang masuknya Umar menjadi Islam ini di kalangan para Muhajirin di negeri Habsyah. Maka mereka kembali ke Makkah. Namun di kala itu penduduk Makkah, pemimpin-pemimpin, para penasihat dan para raja yang ada di sana masih belum mempunyai rasa kasih sayang dan belum mahu menyerah.
Mereka masih tetap berusaha meningkatkan niat untuk menyakiti dan mempersempit perjuangan ummat Islam. Mereka masih teguh pendiriannya untuk menyakiti dengan beraneka cara.

Di kala Allah telah memberi izin kepada Nabi Muhammad saw untuk hijrah ke Madinah, maka beliau menyatakan bahwa hijrahnya kaum Muslimin sebelum itu adalah telah memperoleh keselamatan. Begitulah tuntunan dan nasihat yang dinyatakan oleh beliau.
Hijrahnya Umar adalah berbeza dan sangat aneh, sebab kebanyakan kaum Muslimin sewaktu hijrah mereka keluar dengan cara menyamar, bersembunyi, mereka berkelompok-kelompok dan saling jaga-menjaga. Akan tetapi Umar berhijrah dengan cara lain, di mana keberanian dan kekerasannya seakan-akan tidak rela bila ia keluar dengan cara menyamar di waktu malam atau bersama seseorang. Ia menyandang pedangnya, memanggul busur panah, membawa panah di tangannya dan melipat tongkatnya. Ia berjalan melewati arah Ka’bah, padahal pemimpin Quraisy berada di halaman Ka’bah itu. Ia bertawaf di sekelilingnya tujuh kali dengan mantap. Setelah itu ia mendatangi Makam lbrahim dan mengerjakan solat lalu ia berdiri di muka kalangan kaum Quraisy seraya mengatakan kepada mereka dengan nada sinis:

"Siapa yang akan meninggalkan ibunya, atau meyatimkan anaknya, atau menjadikan janda isterinya, maka baiklah menemui saya di belakang lembah ini."

Selanjutnya ia meneruskan perjalanannya sedangkan kaum Quraisy terkunci mulutnya, diam seribu bahasa. Dia tiba di Madinah setelah merasa letih dan dahaga lagi susah payah.

Dia beberapa hari merasa rindu untuk bertemu dengan Rasulullah saw dan senantiasa berusaha mencari beritanya.

Sehingga setelah sampai pada hari yang mulia ia dapat bertemu dengan Rasulullah di Madinah, Serombongan kaum Muslimin menjemputnya dengan penuh penghormatan. Di kala itu Umar tak dapat menahan cucuran air matanya yang mengalir karena rasa riang dan gembiranya yang tak terhingga...


(bhg 4)

Sehingga setelah sampai pada hari yang mulia ia dapat bertemu dengan Rasulullah di Madinah, Serombongan kaum Muslimin menjemputnya dengan penuh penghormatan. Di kala itu Umar tidak dapat menahan cucuran air matanya yang mengalir karena rasa riang dan gembiranya yang tak terhingga.

Nabi Muhammad saw lalu memeluknya dengan pelukan penghormatan yang hangat.
Sewaktu ummat Islam yang berkedudukan di Madinah telah merasa tenteram, dan Nabi Muhammad saw telah menetapkan Undang-undang Pemerintahan yang baru dengan Dasar Hukum Syariat Islam, maka Umarlah yang menjadi penasihat dan Menteri yang terpercaya.

Dalam hal ini, hubungan antara Umar dan Rasulullah saw telah sampai pada batas yang tidak dapat disifati. Rasulullah saw bagaikan pelindungnya yang tidak pernah berpisah kecuali kegelapan malam telah menutupi mereka.

Rasa kegembiraan telah menyelubungi hatinya ketika Rasulullah saw meminang puterinya yaitu Hafsah. Hubungan mertua antara keduanya menambah kuat hubungan kasih sayang bagi diri Umar, dan itulah kemuliaan yang agung yang telah dicapai oleh Umar bin Al-Khattab r.a.

Hari bertambah hari dan masa ke masa, Umar bertambah terikat dengan Rasulullah saw dan bertambah pulalah baginya dalam memahami Hukum Islam serta bertambah juga sikap kerasnya terhadap orang kafir.

Ketika terjadi perang Badar di mana kaum Muslimin telah berangkat menemui pasukan Quraisy dan antara dua pasukan telah saling bertemu, maka Umar ra adalah termasuk orang yang diminta pendapatnya.

Waktu itu Umar menyampaikan isyarat agar memantapkan tujuan, menguatkan hati dan melawan musuh-musuh Allah dan musuh-musuh agama yang benar. Umar memang orang yang senang mengikuti perang, demi membela dan menegakkan agama Allah serta menegakkan bendera Al Quran.

Setelah terjadi perang tanding antara dua pasukan perang itu, maka dialah yang tetap teguh hatinya dan tetap kuat keimanannya sehingga pasukan kuda kaum Quraisy melarikan diri dari hadapannya karena takut terhadap pedangnya yang haus akan darah.
Sewaktu peperangan sampai ke kemuncaknya, ia berjumpa bapa saudaranya yaitu Al-Ash bin Hisyam. Umar tidak ragu ragu menghadapinya sepontan menyerangnya dan ia berhasil membunuhnya.

Hubungan darah dan ikatan tali persaudaraan tidak tergores sedikit pun dalam hatinya, sehingga dia pun melawannya. Baginya akidah dan ukhuwah lslamiyah serta persaudaraan adalah menjadi tuntunan yang harus dipegang teguh. Dalam perang Badar itu kaum Muslimin memperoleh kemenangan dan mendapatkan barang-barang rampasan yang banyak sekali.

Tahanan-tahanan perang pun sangat banyak. Maka ketika Nabi Muhammad saw bermusyawarah dengan para sahabatnya dalam masalah tahanan, masing masing dari mereka mengemukakan pendapatnya. Umar r.a berpendapat agar tahanan dibunuh kerana mereka itu pemimpin-pemimpin orang kafir dan sesat. Umar risau kerana mereka pasti akan mengumpul kekuatan dan membalas dendam terhadap Umat Islam. Abu Bakr r.a pula berpendapat agar mereka diberi kesempatan untuk hidup dan membayar denda atau menebus diri mereka dengan wang tebusan. Hal ini dapat memperkuat Umat Islam. Rasulullah s.a.w mengembalikan masalah tahanan perang kepada sahabat-sahabatnya yang berada dalam mesyuarat (ahli syura) ketika itu, maka majoritinya cenderung kepada pendapat Abu Bakr r.a. kerana tiada sesuatu tindakan pun yang kebaikannya menyamai tindakan memeberi kemaafan dan keampunan, lebih-lebih lagi dalam mengetuk dan membuka hati yang terkunci. Tidak lama selepas itu Allah menurunkan ketentuan tentang masalah tahanan perang dan ternyata sesuai dengan pendapat Umar. (Lihat Kisah Abu Bakr pada masa akan datang).

Memang agama Islam selamanya merupakan agama yang berdasarkan musyawarah. Maka tidak pernah membiarkan pendapat mengambil tempat dalam urusan umum dan urusan masyarakat.

Umar adalah termasuk anggota Penasihat Rasulullah saw setelah Abu Bakar ra. Kebanyakan ayat-ayat hukum yang diturunkan kepada Rasulullah saw adalah mendekati pendapat Umar atau secocok dengan pendapatnya. lidahnya seolah-olah lidah malaikat kerana selalu betepatan dengan wahyu. Lisan Umar itu adalah bagaikan lisan para malaikat yang menyampaikan wahyu. Memang beliau telah didoakan oleh Rasulullah s.a.w sebagaimana disebutkan dalam doanya:

“SEMOGA ALLAH MENJADIKAN KEBENARAN PADA LISAN UMAR DAN HATINYA.”

Umar r.a adalah sahabat yang banyak hadir mengikuti peperangan bersama Rasulullah saw.


sumber: e-mail